Kem Kekal PKBN Mercu Tanda Daerah Temburong

classic Classic list List threaded Threaded
1 message Options
info.mcys info.mcys
Reply | Threaded
Open this post in threaded view
|

Kem Kekal PKBN Mercu Tanda Daerah Temburong

 

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa berucap pada Majlis Pelancaran PKBN Pengambilan Ke-6 bertempat di Kem Latihan PKBN Kampung Gadong Baru, Mukim Batu Apoi, Temburong.

[Sumber: Pelita Brunei]
Berita: Ampuan Roza Amalyati Ampuan Hussain
Foto: Pg Suhaimi bin Pg Hj Othman
 
TEMBURONG, Sabtu, 10 Disember. - Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) bagi pengambilannya yang ke-6 melakar sejarah apabila merupakan yang terbesar setakat ini dengan seramai 359 belia terdiri daripada 281 lelaki dan 78 perempuan mengikuti latihan, mengatasi pengambilan-pengambilan yang terdahulu.

Ianya adalah satu pencapaian dan petanda baik yang bermakna bagi program ini yang terus menerima sambutan yang menggalakkan dan berjaya mencapai objektif ianya diperkenalkan.

Berucap semasa Majlis Pelancaran PKBN Pengambilan Ke-6 bertempat di Kem Latihan PKBN Kampung Gadong Baru, Mukim Batu Apoi, di sini, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof seterusnya menambah bahawa sejarah juga telah diukir bila mana Kem Latihan PKBN yang baharu dan lengkap serta serba moden mula digunakan oleh Pengambilan Ke-6 ini iaitu bersukut baik dengan bulan kelahiran Rasul dan Pemimpin Agung Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu bulan Rabiulawal.

''Selain itu, kem ini juga dengan kedudukan strategiknya di Mukim Batu Apoi turut menjadi mercu tanda baharu di Daerah Temburong. Terbina dan kewujudan Kem Latihan PKBN yang baru tersergam ini adalah sejajar dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui titah baginda semasa Majlis Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan Pertama tahun 2013 yang antara lain baginda bertitah menekankan - ''Dalam melaksana program ini, perlulah dipastikan kurikulumnya, infrastruktur, kesesuaian jurulatih dan penyelia serta peralatannya. Semua itu biarlah yang terbaik, sempurna dan terjamin selamat,'' ujar Yang Berhormat Menteri.

Menurut Yang Berhormat, ianya juga membuktikan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan baginda secara terus menerus memberikan keutamaan terhadap latihan pembangunan belia khususnya PKBN ini.

PKBN, jelas Yang Berhormat, telah berjaya mengorak langkah dengan lebih jauh dan meyakinkan dalam mengukuh dan mempertingkatkan imej serta kedudukannya sebagai program strategik nasional yang terunggul dan cemerlang melahirkan belia dan beliawanis yang dinamik dan patriotik dan bertanggungjawab.

Selain menjadi mercu tanda baharu menaikkan profil Daerah Temburong, dalam tempoh jangka masa yang panjang, adalah diyakini kewujudan kem latihan ini akan dapat membantu dalam menjana pelbagai aktiviti perekonomian rakyat dan penduduk daerah ini dan secara tidak langsung akan dapat membantu usaha meningkatkan sosioekonomi masyarakat dan daerah ini, terutama apabila jambatan yang akan menghubungkan Daerah Brunei dan Muara (DBM) dan Daerah Temburong yang pada masa ini sudah dalam pembinaan, siap sepenuhnya kelak, jelas Yang Berhormat.

Di samping itu, Yang Berhormat melahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada 359 pelatih yang akan menjalani latihan selama 100 hari dan juga kepada para ibu bapa dan penjaga amnya.

Yang Berhormat merasa gembira kerana para pelatih telah menyahut seruan dan cabaran untuk melakukan transformasi diri dan memanfaatkan masa muda mereka dengan menyertai program ini sesuai dengan seruan tema Sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini iaitu 'Belia Berwawasan Pemangkin Transformasi'.

Jelas Yang Berhormat lagi, latihan-latihan dan pengalaman yang dilalui nanti merupakan satu bentuk penghijrahan diri yang memerlukan kerja keras dan pengorbanan.

Melalui latihan yang padat dan jitu ini tambahnya, InsyaaAllah akan dapat membentuk pelatih-pelatih menjadi belia dan beliawanis dikehendaki negara tercinta iaitu belia/beliawanis yang berjiwa kental, berjiwa besar dan berakhlak mulia iaitu memiliki nilai-nilai iman dan ihsan.

Selaku lepasan program ini, para pelatih juga nanti diharap akan menjadi 'role model'/penyuntik semangat para belia dan beliawanis yang lain di luar sana di dalam sama-sama menyokong dan menjayakan hasrat kerajaan menuju Wawasan Brunei 2035 melalui pengukuhan jati diri, berdaya saing, bijak dan kreatif sesuai dengan moto PKBN 'Bersedia Berkhidmat Berbakti'.

Yang Berhormat yakin dalam tempoh tiga bulan ini para pelatih akan didekatkan dan ditanamkan dengan ilmu dan pendedahan latihan fizikal, pembentukan karakter, kenegaraan dan khidmat komuniti melalui module-module program yang telah dipertingkatkan dan diperbaiki semenjak dari pengambilan pertama dengan mengutamakan penerapan konsep Melayu Islam Beraja.

Selain itu dan lebih penting katanya, antara objektif program ini adalah untuk menambah pengetahuan dan pengalaman pelatih-pelatih, di samping berpeluang mengeratkan semangat berpasukan yang tinggi dan kemantapan semangat patriotisma dan kesetiaan kepada raja, ugama dan negara juga tuntutan Wasawan Brunei 2035.

''Kejayaan adalah melalui PKBN masa lalu dan mendatang, sokongan dan dokongan daripada pelbagai pihak terutamanya pihak ibu bapa. Sokongan dan dorongan moral daripada ibu bapa dalam memastikan para pelatih sentiasa bersemangat, berdaya tahan dalam tempoh 100 hari ini hingga berjaya menamatkan latihan adalah elemen penting kejayaan pelatih dan program."

Kerajaan menghargai peranan penting ibu bapa dalam memastikan keberkesanan program ini. Kerajaan dan pihak berwajib/berkepentingan juga menyedari bukanlah satu perkara mudah bagi ibu bapa untuk melepaskan anak-anak mereka bagi menyertai program ini, jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat menambah, lantaran itulah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui PKBN sangat menyanjung tinggi atas kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa dalam melatih dan mendidik anak-anak mereka dalam PKBN ini.

Menurutnya, di atas kepercayaan itu, KKBS melalui PKBN telah menyediakan modul-modul pembangunan modal insan yang berasaskan kepada nilai-nilai murni konsep negara Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir," ujar Yang Berhormat.

Sejurus pelancaran PKBN Pengambilan Ke-6, majlis kemudian menyaksikan Lafaz Ikrar daripada seramai 359 pelatih serta nyanyian lagu 'Sedia Berbakti'.

Terdahulu dari itu, majlis turut mendengarkan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Negara, Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail, selaku Pengerusi Majlis.

Juga hadir, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, wakil Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, wakil Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pegawai Daerah Temburong, Pengarah-pengarah, Timbalan-timbalan Pengarah dan Pegawai-pegawai kanan KKBS, Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua kampung Daerah Temburong, Ahli Jawatankuasa 'Task Force' PKBN serta para ibu-bapa dan penjaga pelatih Pengambilan Ke-6.