Pertahankan Warisan Budaya

classic Classic list List threaded Threaded
1 message Options
info.mcys info.mcys
Reply | Threaded
Open this post in threaded view
|

Pertahankan Warisan Budaya


Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku tetamu kehormat semasa menyampaikan ucapan pada Pertandingan Canang Citra Budaya 2016 Kali Ke-9.

[Sumber - Pelita Brunei: Nooratini Haji Abas]

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 November. - Di dalam persekitaran dunia yang cepat berubah penuh cabaran ini, usaha bagi menghidupkan dan mengekalkan beberapa warisan-warisan tradisi seperti kesenian muzik, bunyi-bunyian juga warisan budaya yang lain adalah menjadi cabaran.

Hal ini dapat dilihat bahawa Negara Brunei Darussalam mempunyai sebahagian besar kompilasi lagu-lagu asli yang unik dan mengandungi mesej yang pelbagai.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof menekankan perkara itu pada Pertandingan Canang Citra Budaya 2016 yang berlangsung di Dewan Raya, Radio Televisyen Brunei (RTB), di ibu negara, di sini.

Justeru itu, usaha Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) mengungkayahkan Pertandingan Canang Citra Budaya 2016 itu jelasnya, adalah untuk menghidupkan ciptaan seni orang Brunei dengannya.

Ilham orang Brunei menghasilkan seni dari bunyi-bunyian atau vokal yang indah dan harmonis itu tambahnya, akan terus menerus diketengahkan dan dilestarikan. Kreativiti individu dan kumpulan orang Brunei telah dapat menyatukan masyarakat yang berbilang kaum dan puak di negara ini.

Maka, melalui pertandingan seumpama itu katanya, koleksi lagu-lagu asli identiti Brunei dijangka bertambah untuk terus dipertahankan dan diperkembangkan sebagai kekuatan orang Brunei dalam cabang seni.

''Irama Melayu seperti Zapin, Inang, Joget dan lain-lain adalah antara irama Melayu yang popular di rantau Melayu dan mempunyai tarikan yang tersendiri. Jika irama berkenaan disesuaikan dengan cetusan ilham yang kreatif mengikut edaran zaman, saya yakin ianya akan diminati oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira umur dan bangsa,'' ujarnya.

Dari itu, adalah penting bagi kita, tegas Yang Berhormat, untuk menghargai dan menghormati daya cipta individu, kumpulan dan masyarakat atas dasar melindungi warisan serta khazanah budaya negara kita, serantau juga antarabangsa.

Semua itu menurutnya adalah kerana nilai-nilai budaya dari mana-mana jua masyarakat budaya di dunia ini mencerminkan keunikan dan nilai bangsa serta budaya negara masing-masing.

''Dari akal itulah muncul nilai-nilai budaya yang membawa manusia kepada ketinggian peradaban. Budaya seterusnya membentuk cara dan gaya hidup. Perubahan gaya hidup disebabkan proses globalisasi melalui kemasukan budaya baharu yang meresap melalui pengaruh teknologi maklumat mungkin membuatkan hidup lebih mementingkan kebendaan serta keseronokan,'' terangnya.

Kementeriannya menyedari kepentingan untuk memperkembangkan dan mendidik belia mengenai kebudayaan serta kesenian, pewarisan budaya-budaya luhur adalah melalui proses pendidikan.

Oleh yang demikian, Yang Berhormat menyatakan, KKBS sedang mempertimbangkan penubuhan tempat belajar, di mana belia-belia diberi pembelajaran tentang daya cipta dan kreativiti orang Brunei yang seluas-luasnya pada satu masa yang bersesuaian.

Pada masa yang sama, perancangan strategik yang positif ini ujarnya mendukung matlamat kementrian tersebut ke arah Wawasan Negara 2035.