Sebarkan Kesusasteraan Negara Ke Peringkat Antarabangsa

classic Classic list List threaded Threaded
1 message Options
info.mcys info.mcys
Reply | Threaded
Open this post in threaded view
|

Sebarkan Kesusasteraan Negara Ke Peringkat Antarabangsa


Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof semasa berucap selaku tetamu kehormat pada Majlis Pembukaan Rasmi PSB VI.

[Sumber: Pelita Brunei]
Oleh: Aimi Sani - Penerangan
Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 November. – Golongan sasterawan adalah golongan penting dalam masyarakat. Melalui tulisan, mereka diketemukan pelbagai pemikiran, pandangan, kritikan, idea dan ilmu baharu dalam sama-sama membangun negara kita yang tercinta ini.

Berucap pada Majlis Perasmian Pertemuan Sasterawan Brunei ke-6 (PSB VI) 2016 yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof seterusnya menambah bahawa para sasterawan memerlukan satu kawasan bagi berkumpul untuk berkongsi pengalaman dan melihat bersama perkembangan sastera tanah air.

Justeru itu ujar Yang Berhormat, hubungan kerjasama di antara penulis adalah amat perlu terutama dalam sama-sama mengendalikan sebuah bahtera perjalanan kehidupan khususnya bersatu dalam sesebuah kesatuan penulisan.

Menurut Yang Berhormat, ASTERAWANI kini sudah berusia lebih setengah abad yang mana ahli-ahlinya yang terdiri daripada penulis-penulis dan pencinta sastera setentunya juga sudah berusia matang, berpengalaman, berpendedahan dan berpengetahuan atau jadi 'orang lama'.

Oleh itu, Yang Berhormat menyeru kepada ASTERAWANI untuk terus mendampingi dan melahirkan penulis-penulis muda supaya mereka akan dapat melibatkan diri dan menyedari peranan mereka sebagai pelapis dalam persatuan ini kerana kita sedia maklum bahawa perkembangan kesusasteraan dan bahasa khususnya akan dapat membantu masyarakat kita dalam membentuk dan menghargai jati diri sebagai orang Brunei yang sebenarnya, yang tidak akan malu mengaku bahawa kitani adalah orang Brunei.

"Kehilangan abiskita orang lama, orang berjasa nanti selain sangat dirasakan akan mengakibatkan jurang kesinambungan peranan yang penting ini." jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat berpendapat bahawa, hasil penulisan penulis-penulis di negara ini dapat dan sudah tiba masanya untuk disebarkan ke seluruh pelusuk dunia iaitu dengan cara menterjemahkan hasil karya tersebut ke dalam bahasa asing seperti Bahasa Inggeris, Perancis, Arab, China dan lain-lain bahasa. Usaha ini memanglah bukan suatu perkara yang mudah kerana ia memerlukan kepakaran dalam bahasa-bahasa tersebut, namun ianya dapat dilaksanakan secara bersistematik atau berperingkat-peringkat, dengannya akan meriah dan berkembanglah bahasa dan kesusasteraan kita.

Dalam pada itu, Yang Berhormat turut bangga, dimana hasil nukilan pena Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (Adi Rumi), koleksi puisi dari 'Jendela Dunia' sebagai contoh telah pun dapat diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris iaitu 'Window on the World',

Yang Berhormat seterusnya mencadangkan agar buku-buka yang ditulis oleh penerima-penerima anugerah penulis Asia Tenggara (S.E.A Write Award) diberikan keutamaan untuk diterjemahkan.

Untuk merealisasikan hasrat ini ujar Yang Berhormat, kerjasama daripada semua pihak yang berkepentingan dalam memperjuangkan bidang kesusasteraan dan bahasa ini adalah amat diharapkan dan dialu-alukan.

Terdahulu sebelum itu, Yang Berhormat berkata bahawa kita selaku rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas kurnia nikmat yang banyak dariNya yang telah dapat kita nikmati selama ini iaitu melalui kepimpinan bijaksana dan berwawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ini jelas Yang Berhormat, serasi dengan tema yang dipilih oleh ASTERAWANI mengenai pertemuan sasterawan Brunei kali ini iaitu 'Semarak Sastera Era Kebawah Duli' yang mana dalam konteks ini, sesungguhnya pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga sentiasa menggalakkan para sasterawan dan budayawan di negara ini untuk terus bergiat dalam bidang penulisan sama ada sastera kreatif atau non-kreatif, asalkan hasil karya tersebut sesuai dengan siasah keharmonian kehidupan rakyat dan negara yang sama-sama kita kasihi ini.

Yang Berhormat turut berbangga, gembira dan bersyukur kerana DBP sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan iaitu sesuai dengan fungsi dan tujuan penubuhannya untuk mendaulatkan bahasa dan kesusteraan melayu telah dapat menjalinkan kerjasama dengan persatuan-persatuan sukarela seperti ASTERAWANI.

Kerjasama erat DBP dan ASTERAWANI jelas Yang Berhormat, difahamkan sudah terjalin sekian lama, malah dari segi usia pun tidak jauh perbezaannya.
Dengan yang demikian, Yang Berhormat berharap agar kerjasama yang berterusan dapat diteruskan dan boleh di lihat hingga ke saat ini iaitu berkerjasama dalam menganjurkan pertemuan Sasterawan Brunei ke-6 ini.